:: Bicara Ulama' ::

Sayed Qutb dalam surat terakhir menulis kepada adiknya sebelum di gantung : "Kita selalu akan merasa sempit dada jika kita merasakan kitalah yang memulakan & mengakhiri perjuangan ini, tapi kesempitan ini tidak akan terasa jika kita merasai bahawa kita menyambung perjuangan yang lalu & akan di teruskan oleh generasi yang akan datang..Adikku, usahlah kau gerun tali gantung yang akan menjerut leherku.."

Renungan “sebagai Remaja”

Assalamua'alaikum warahmatullahi wabarakatuh!
Selawat dan Salam Selamanya pada Baginda Rasulullah SAW. Jangan kita terlupa menyebutnya walau sedetik, demi Allah Taala yang Maha Melihat dan Mendengar, Sesungguhnya beruntunglah wahai para pencinta apa yang Allah Cintai, itulah Rasulullah SAW Amirul Ummah.

Saban hari..
Keruntuhan akhlak serta jenayah di kalangan remaja sentiasa hangat diperbincangkan. Remaja merupakan suatu golongan yang mesti diberi perhatian sewajarnya memandangkan golongan inilah yang bakal mewarnai corak masa depan negara bagi menggantikan golongan dewasa dan tua yang bakal pergi. Rosaknya golongan remaja maka goyahlah kestabilan negara lambat launnya. Oleh itu mesti diambil suatu tindakan yang serius dan bersungguh dalam membentuk golongan remaja yang cemerlang ilmu dan akhlaknya. Adalah menjadi suatu kesalahan yang besar jika golongan ini dibiarkan hanyut tanpa ada usaha untuk menyekat mereka daripada terjerumus ke lembah kejahilan dan kerosakan akhlak. Bermula daripada rumah lagi di mana ibubapa menjadi tonggak penting dalam membimbing anak-anak agar bergerak serta bertindak mengikut lunas syarak. Diikuti dengan didikan secara formal di sekolah-sekolah dan seterusnya kepada peringkat yang lebih tinggi di mana di pusat pengajian ini mesti ditekankan pembelajaran dan pendidikan secara serentak bukannya pelajar hanya diajar tanpa dibentuk melalui didikan yang sempurna. Mengajar lebih mudah daripada mendidik di mana guru yang hanya tahu mengajar mudah dilahirkan dalam masyarakat berbanding golongan pendidik yang mampu membentuk peribadi pelajarnya sehingga pelajarnya lahir sebagai golongan terpelajar dan berakhlak mulia. Pendidik yang mahu melahirkan pelajar yang jati diri lebih banyak cabaran dan tugasannya berbanding guru yang hanya tahu mengajar pelajar sahaja dengan mengabai aspek pendidikan.

Kita tidak boleh sama sekali membiarkan golongan remaja mengikut arus yang berlangsung dalam masyarakat dengan memberi mereka peluang yang begitu luas untuk memilih. Ketika berada dalam usia yang belum cukup matang ini kebanyakan remaja lebih mudah mengikut telunjuk nafsu berbanding tunduk kepada arahan wahyu. Ini ditambah lagi dengan suasana dalam masyarakat hari ini yang menyaksikan bagaimana program yang berunsur maksiat yang merosakkan akhlak muda mudi begitu subur di mana-mana sahaja maka perlu diambil jalan yang terbaik agar program yang berunsur keagamaan yang membentuk pembinaan insan terus diperbanyakkan serta diperwajibkan ke atas semua remaja. Ini bukanlah suatu paksaan yang ditegah oleh agama kerana ia merupakan suatu usaha amar makruf nahi munkar. Kita perlu faham dengan baik perbezaan antara paksaan yang dilarang dengan paksaan yang disuruh oleh Allah. Paksaan orang bukan Islam untuk memeluk Islam adalah antara contoh kepada paksaan yang dilarang sebaliknya paksaan terhadap umat Islam agar melaksanakan amar makruf nahi munkar dalam kehidupan merupakan suatu paksaan yang disuruh oleh agama. Jika semua paksaan tidak dibolehkan dalam Islam maka sudah pasti tiadanya arahan dirotan anak-anak jika tidak sembahyang selepas berumur 10 tahun. Begitu juga dengan perundangan termasuk hudud dan qisas sudah pasti tidak dapat dilaksanakan jika benar dakwaan bahawa Islam berjalan atas kerelaan bukan paksaan. Jika tiada paksaan maka umat Islam tidak akan bersungguh dalam melaksanakan seluruh sistem Islam dalam kehidupan kerana kita akan hanya melakukan perkara yang mudah dan dipersetujui oleh nafsu dengan menolak dengan mudah segala perintah Allah yang dianggap berat untuk dibuat. Melihat kepada peri pentingnya didikan dan asuhan yang mesti dilaksanakan ke atas setiap diri golongan remaja maka usaha ini mesti dipertingkatkan. Semakin ramai golongan remaja yang jatidiri dengan tinggi ilmunya serta murni akhlaknya maka semakin mudah perjalanan pentadbiran sesebuah masyarakat seterusnya negara. Sebaliknya jika rosaknya golongan remaja maka ia memberi padah kepada kemajuan tamadun insan dalam sesebuah negara seterusnya boleh membantut kemajuan kebendaan akibat terlalu ramai lahirnya golongan perosak yang sentiasa suka melakukan kerosakan demi memenuhi nafsu serakah. Jangan terlalu memandang mudah kepada didikan terhadap golongan remaja kerana kelak ia akan membahayakan negara jika gagal membina keperibadian mereka.Cara untuk membina peribadi insan yang mulia bukanlah mudah tetapi bila berhasil maka ia akan membawa begitu banyak manfaat dan kebaikannya. Sebaliknya cara untuk merosakkan manusia begitu mudah dan bila berlaku maka ia pasti memberi banyak kesan buruk kepada semua pihak. Ajaran Islam memang mudah tetapi payah dilaksanakan, ia senang tetapi sukar ditunaikan bukan disebabkan susahnya tetapi akibat ia bercanggah dengan keinginan nafsu. Oleh itu didiklah nafsu agar ia jinak dengan ibadat, asuhlah diri agar kuat beramal soleh. Jangan membiarkan nafsu terus meliar bertindak, jangan hanyutkan diri dengan maksiat yang mencelakakan diri kita di dunia dan Akhirat.

No comments:

Post a Comment